Sahol Hamid Abu Bakar
Sahol Hamid Abu Bakar

Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Prof. Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, jelajah pendidikan yang merupakan ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan platform kepada para pelajar miskin bumiputera di negeri ini untuk mencapai cita-cita dan merubah nasib keluarga.

Beliau turut memberi jaminan mana-mana lepasan sekolah yang datang ke jelajah pendidikan itu berpeluang untuk ditempatkan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini dengan kelulusan masing-­masing.

“Saya sempat bertemu Perdana Menteri minggu lalu dan beliau meminta saya memberi tumpuan khas kepada negeri ini dalam membantu anak-anak muda terutama di luar bandar melanjutkan pengaji­an ke peringkat lebih tinggi.

“Oleh itu, tugas ka­mi pada siri jelajah ini adalah untuk mencari, mengenal pasti dan seterusnya memastikan lepasan sekolah yang datang ke program ini mendapat tempat di IPTA di negeri ini atau Semenanjung,” katanya ketika berucap pada Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi di sini hari ini.

Jelajah itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsudin Yahya.

Jelajah Pendidikan Bu­miputera merupakan antara inisiatif kerajaan dalam membangunkan pendidikan dalam kalangan bu­miputera cemerlang miskin dan kurang kemampuan de­ngan memberi peluang kepada mereka melan­jutkan pengajian di peringkat tinggi sekali gus menangani masalah keciciran.

Menerusi inisiatif tersebut, seramai 150,000 pelajar dalam kumpulan berkenaan disasarkan dalam tempoh tiga tahun untuk menyambung pengajian di 10 bu­ah institusi pengajian tinggi antaranya Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), politeknik, ko­lej komuniti dan GiatMara.