Dr. NORHAFIZAH MOHD. SUKOR
Dr. NORHAFIZAH MOHD. SUKOR

Menurut Ahli Psikologi, Norhafiza Mohd. Sukor, sebagaimana golongan ini menuntut kefahaman dan kesamarataan daripada masyarakat, mereka juga perlu memahami mengapa berlaku penolakan yang ketara daripada majoriti rakyat di negara ini.

Pensyarah Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkenaan menjelaskan, dalam perbincangan cabang pengkajian Psikologi Abnormal baik di Barat mahupun rantau ini, ada dinyatakan isu penolakan terhadap golong LGBTQ berlaku kerana gaya hidup songsang yang diamalkan golongan ini bertentangan dengan norma masyarakat.

Bahkan, menurut Dr. Norhafiza, ahli psikologi barat seperti Vincent Mark Durand, Stefan G. Hofmann dan David H. Barlow menyatakan dalam buku mereka Abnormal Psychology: An Integrative Approach menyatakan, tahap penerimaan terhadap rendah sesebuah komuniti terhadap budaya hidup songsang tersebut menjadi petunjuk bahawa majoriti ahli masyarakat tidak bersetuju dengan perkara yang jelas berlanggaran dengan norma hidup manusia.

“Dalam konteks ini (penolakan masyarakat), golongan LGBTQ juga perlu memahami, majoriti melihat mereka sebagai kelompok yang mengalami kecelaruan jantina (gender dysphoria) yang bertentangan dengan budaya dan kepercayaan majoriti yang boleh menjejaskan aturan kehidupan masyarakat.

“Ini dinyatakan oleh pakar psikologi Barat dan perlu juga difahami dan diterima oleh golongan LGBTQ,” kata beliau kepada Utusan Online ketika dihubungi hari ini untuk mendapatkan komen mengenai polemik tuntutan untuk diterima dan diberikan kesaksamaan oleh kelompok berkenaan.

Dr. XAVIER VINCENT JAYAKUMAR
Dr. XAVIER VINCENT JAYAKUMAR

Menyentuh perkara sama, Pakar Perunding Psikiatri dan Psikoterapi, Professor Madya Dr. Xavier Vincent Pereira pula berkata, dalam konteks kemasyarakatan, penting bagi golongan LGBTQ untuk tidak terlalu berkeras menyuarakan tuntutan mereka.

Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Taylor itu menjelaskan, golongan berkenaan perlu memahami bahawa, pada pandangan majoriti masyarakat amalan hidup mereka itu bertentangan dengan agama, kepercayaan serta budaya di negara ini.

Apa yang penting, tegas beliau, ialah untuk menjaga keharmonian kehidupan bermasyarakat untuk kepentingan semua pihak.

“Kedua-dua belah pihak perlu mengetahui dan memahami sudut pandang masing-masing.

“Jika ini dapat dilakukan, saya pasti isu ini dapat ditangani dengan baik dan keharmonian hidup semua rakyat Malaysia dapat dipelihara,” katanya kepada Utusan Online.

Polemik tuntutan hak dan kesamarataan oleh golongan LGBTQ ini kembali hangat diperkatakan awal bulan ini selepas potret yang memaparkan dua aktivis yang dikaitkan dengan LGBT iaitu Nisha Ayub and Pang Khee Teik yang bergambar dengan bendera Malaysia telah dipamerkan kepada orang ramai pada pameran fotografi yang diadakan sempena Festival Georgetown yang berlangsung sejak 4 Ogos lalu hingga 2 September depan.

Tindakan itu telah mengundang kemarahan majoriti rakyat Malaysia yang merasakan pameran itu seolah-olah usaha untuk mempromosikan golongan LGBTQ.

Terbaharu, pada Jumaat lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa mengadakan satu sidang akhbar yang menggemparkan dengan Nisha Ayub.

Bagaimanapun, hari ini, Dr. Mujahid telah tampil dengan permohonan maaf dan menarik semula kenyataannya yang menurut beliau, kurang sesuai dan mengelirukan orang ramai. - UTUSAN ONLINE