Penjelasan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid itu sekali gus menafikan dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnnya institusi sekolah berasrama penuh di negara ini sudah tersasar daripada matlamat asal penubuhannya.

Beliau berkata, pelajar cemerlang dari golongan B40 hanya perlu memenuhi syarat-syarat kelulusan yang ditetapkan untuk membolehkan mereka meneruskan pelajaran di sekolah berasrama penuh.

“Hari ini, Dr. Mahathir sebut sekolah asrama penuh ini telah menyimpang daripada hasratnya.

“Suka saya sebut di sini bahawa sekolah berasrama penuh terbuka kepada semua pelajar termasuk pelajar miskin luar bandar, miskin bandar malah pelajar cemerlang yang datang daripada isi rumah B40 didahulukan dengan syarat kelulusan mereka memenuhi syarat sekolah tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Pendidikan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dr. Mahathir ketika membuat dakwaan itu menyatakan sekolah berasrama penuh kini tidak lagi memberi penekanan terhadap usaha membantu anak-anak yang berasal dari keluarga miskin.

Sementara itu, Mahdzir berkata, kementerian mempunyai perancangan jangka panjang untuk menggabungkan kira-kira 400 sekolah kurang murid di Sarawak.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, sekolah yang dipilih untuk dijadikan pusat penggabungan itu perlu mempunyai kemudahan asas yang mencukupi termasuk asrama sebelum cadangan dikemukakan kepada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

“Kementerian Pendidikan telah memperoleh surat daripada kerajaan negeri Sarawak mengenai cadangan penggabungan sekolah kurang murid cuma ia masih di peringkat perbinca­ngan untuk dimulakan di kawasan mana,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir memberitahu, bagi meringankan beban rakyat, kerajaan telah memperuntukkan RM250 juta bagi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi peringkat prasekolah tahun ini dengan melibatkan le­bih 400,000 kanak-kanak.