Keberanian individu terbabit yang secara terangan mengaku murtad telah mengundang kecaman daripada pengguna media sosial lain, sehingga ada yang mencadangkan kepada pihak berwajib supaya mengambil tindakan terhadapnya.

Namun, di sebalik ratusan komen berunsur kritikan dan kecaman itu, terselit pengakuan beberapa individu Melayu lain yang turut mengaku keluar agama dan memilih menjadi ateis atau free thinker.

Mereka tanpa sekelumit rasa bersalah, menolak konsep kewujudan tuhan namun pada masa yang sama menganggap Islam tidak lebih daripada satu budaya dalam kehidupan harian.

Turut dikesan, komuniti dalam talian seperti laman Facebook Atheist Republic, Warung Ateis dan Malaysian Atheist Confessions yang menjadi ‘lubuk’ kepada mereka untuk meraih perlindungan serta meluahkan cabaran hidup sebagai ateis.

Jika diperhatikan, golongan ateis atau free thinker Melayu aktif di laman sosial kerana merasakan lebih selamat untuk membuat pengakuan atau pendedahan.

Itu terbukti apabila penulis mudah mendekati salah seorang free thinker menerusi laman sosial Curious Cat yang merupakan sebuah laman sosial bertukar pandangan dalam kalangan ahlinya.

Pemuda berusia 19 tahun itu secara terbuka berkongsi cerita mengenai tindakannya menjadi murtad kerana keliru tentang konsep tuhan dan kewujudannya.

“Saya tidak berfikir tuhan tidak wujud. Cuma, saya tidak tahu kerana tidak ada bukti tentang kewujudannya. Selama empat tahun saya memendam rasa dan kini saya cuba berani dan menjadi lebih terbuka.

“Dalam masyarakat, golongan seperti saya hanya sebilangan kecil. Kadangkala, kami bukan sahaja disisih malah berdepan tekanan apabila keluarga sendiri tidak memahami,” luahnya.

Sementara itu, seorang pemilik akaun di laman Twitter pula menyalahkan masyarakat yang bersikap tidak terbuka terhadap golongan ateis. Dakwanya, Malaysia antara negara yang tidak selamat untuk didiami golongan murtad.

“Malaysia bukan negara yang bertoleransi terhadap isu-isu seperti ini. Oleh itu, golongan seperti kami perlu berhati-hati mendedahkan identiti sebagai ateis dan free thinker.

“Saya terpaksa hidup dalam penipuan. Di hadapan keluarga, saya berpura-pura menjalani hidup seperti seorang Islam. Namun setelah berjauhan dengan keluarga, saya bebas menjadi diri sendiri,” jelasnya.