Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Hasan Mad berkata, tindakan menswastakan GLC hanya akan merugikan bumiputera dan memberi kelebihan pada sekumpulan orang berkepentingan.

“Apa yang perlu dibuat sekarang adalah untuk memperbaiki pengurusan GLC yang ada dan paling penting wujudkan sistem pemantauan supaya kita boleh lihat prestasi dan arah tuju mereka. Bukan hanya laungkan agenda bumiputera tetapi pelaksanaannya kita tidak nampak.

“Kepemimpinan kerajaan sekarang yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu lihat semula agenda bumiputera zaman Dasar Ekonomi Baru (DEB) dulu.

“Jika lihat dalam buku DEB, tiada satu pun perkataan bumiputera, hanya basmi kemiskinan dan rapatkan jurang ekonomi. Tetapi pelaksanaannya sangat bagus. Lihat majoriti yang miskin iaitu orang bumiputera dan itulah yang dibantu,” katanya kepada pemberita selepas forum khas berkenaan GLC, GLIC dan PEA di sini hari ini.

Antara yang menjadi panel dalam forum itu adalah Ahli Lembaga Penasihat MPM, Dr. Rais Saniman dan bekas Pengurus Besar Lembaga Pertubuhan Peladang Besut Terengganu, Datuk Jasmay Md. Shah. - UTUSAN ONLINE