Pengerusinya, Datuk Azian Osman berkata, seramai kira-kira 23,000 pekerja mahir pula dihasilkan setiap tahun melalui 64 kursus yang ditawarkan bagi memenuhi permintaan tenaga kerja mahir di negara ini.

Katanya, dalam tempoh yang sama, seramai 31,794 orang pelatih telah dilahirkan oleh GiatMara Perak dan daripada jumlah itu, sejumlah 1,923 usahawan pula berjaya dilatih.

“Selain terlibat dalam bidang pekerjaan di negara ini, kita merasa bangga kerana ada pelatih kita yang sekarang ini bekerja di luar negara dengan pendapatan RM30,000 sebulan, selain seorang pelatih berniaga di Australia dengan pendapatan RM29,500 sebulan.

“Jadi kepada graduan dan ibu bapa masing-masing, jangan rasa rendah diri kerana kita hanya ada sijil kerana bidang kemahiran menawarkan peluang pekerjaan yang cukup banyak. Malah, negara kita menjelang tahun 2020 memerlukan tenaga mahir sebanyak 1.5 juta. Jadi banyak yang boleh kita peroleh sebagai pekerja mahir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Graduasi Bersepadu GiatMara Perak di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Sementara itu, Zambry dalam ucapannya berkata, graduan GiatMara seharusnya berbangga dengan peluang yang dimiliki iaitu terlibat secara langsung dalam ilmu vokasional.

“Percayalah, mereka yang mempunyai kemahiran ada peluang lebih cerah untuk mendapatkan pekerjaan kerana mempunyai ilmu vokasional sama ada dalam kimpalan, kulinari, jahitan atau mekanik kereta.

“Itulah erti kehidupan, di mana kita mempunyai kepakaran unik untuk menempatkan diri di tempat kerja, orang lain pun tidak ada, maka hayatilah kebanggaan itu,” katanya.