Ini kerana program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Ke­senian Negara (JKKN) itu diadakan di daerah yang terkenal dengan ghazal selain pernah melahirkan nama-nama besar dalam muzik tradisional berkenaan satu ketika dahulu.

Pengarah JKKN negeri, Zaifri Husin berkata, pelbagai aktiviti menarik bermula pukul 8 pagi hingga 11 malam, antaranya pertandingan Buskerz Ghazal, Bintang Remaja Ghazal dan Kompang Daerah Muar.

“Begitu juga diadakan persembahan Gala [email protected] de­ngan lima segmen utamanya. Pertamanya melibatkan persembahan penyanyi ghazal terkenal, Norsiah Mohd. Amin sebelum diteruskan dengan segmen Tokoh, Persembahan Khas, Evergreen dan Ekstragavanza.

“Istimewanya kita akan melihat persembahan khas kumpulan ghazal Sutra Irama Sekolah Bandar Pontian, selain Sri Raayar Fine Arts yang merupakan kumpulan ghazal dianggotai pemuzik India,” katanya ketika ditemui di pejabatnya sini hari ini.

Katanya, pengunjung juga berpeluang menyaksikan penampilan khas dan istimewa penyanyi ter­kenal era 80-an dan 90-an Ramlah Ram yang menyanyikan lagu-lagu ghazal.

Artis lain seperti Finalis Dang­dut Star Astro, Mohd. Rozaidy Shukry atau lebih dikenali sebagai Rojer dan Juara Bintang Asli Johor, Abdul Rahman Kamaruddin yang pernah merakamkan lagu-lagu ghazal Johor akan turut menghiburkan hadirin.

Selain itu katanya, terdapat juga persembahan Persatuan Ghazal Johor dan Kumpulan Kesenian JKKN Johor dan jualan trak makanan, kraftangan, produk industri kecil dan sederhana (IKS), termasuk pameran dan aktiviti seni.

Jelasnya, objektif penganjuran adalah untuk memperkenalkan muzik ghazal kepada pelancong dan masyarakat setempat serta memartabatkan irama itu ke peringkat antarabangsa.

"Kita juga mahu menjadikan persembahan dan lagu-lagu ghazal Johor sebagai satu keunikan irama tempatan yang dapat menarik perhatian pelancong sekali gus menyemarakkan aktiviti kesenian tradisional di negeri ini," katanya.

Pada masa yang sama katanya, dapat memberikan pendedahan dan peluang kepada penggiat seni tradisional peringkat daerah menyertai acara-acara yang dipersembahkan.