Menurut Timbalan Perdana Menteri, dalam konteks Malaysia, paling ketara adalah pelajar lelaki sedangkan perlu ada jumlah aliran pelajar sains yang ketara untuk memberi kesinambungan kepada kemakmuran ekonomi dan negara.

“Untuk perkara ini berlaku, sebagai langkah awal kita mesti melihat bagaimana pengajaran sains disampaikan iaitu dari sudut pedagogi dan kurikulum.

“ Justeru, kita mesti jadikan subjek sains menarik, mudah difahami, lebih banyak bersifat amali, penerokaan dan sebagainya. Di sinilah peranan pakar dan pendidik,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika berkongsi pengalaman Malaysia berkenaan STEM dalam memaju pembangunan mampan sempena majlis lawatan beliau ke Biro Pendidikan Antarabangsa (IBE) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah IBE UNESCO, Dr. Mmantsetsa Marope dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohammad Yusof.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, jumlah semasa pelajar sains dengan aliran sastera yang berada pada nisbah 30:70 diakui rendah berbanding sasaran enam memasuki aliran sains daripada 10 orang pelajar.

Katanya, nisbah yang rendah ini menunjukkan jumlah sumber manusia menjurus bidang STEM masih tidak meningkat walaupun polisi dan program telah diperkenalkan Malaysia sejak tahun 1967.

“Jurang sebenar antara realiti dan sasaran modal insan STEM menuntut kepada pelan tindakan bagi membawa Malaysia kepada hala tuju ditetapkan,” jelasnya.

Tambah Muhyiddin, cabaran menanti adalah besar namun ini perlu kerana ada negara yang mula beralih daripada ekonomi berasas pertanian kepada pembuatan seperti mana Malaysia sudah lebih ke hadapan.

“Inilah bukti ketara negara berkenaan memanfaatkan sepenuhnya STEM bagi mengubah masa depan mereka,” katanya. – UTUSAN