Fasa pertama melibatkan blok pejabat dan perkedaian sebanyak 11 unit  tiga tingkat  telah siap Oktober lalu manakala pangsapuri  18 tingkat yang kelak akan menjadi mercu tanda bandar ini dijangka siap Mac tahun depan sebelum disusuli dengan pembangunan pusat membeli-belah dan hotel.

Majlis penyerahan kunci kepada pemilik projek fasa pertama disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Johan Ibrahim di sini hari ini. Setiap unit dijual pada harga RM1.5 juta hingga RM2 juta.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan JV Muhibbah Sdn Bhd, Datuk Soh Kok Hiang dan pengarah syarikat, Ghani Azahri.

Gerbang Selatan  yang terletak di Jalan Jakar, berhampiran kawasan riadah Kemaman Waterfront  dibangunkan oleh JV Muhibbah,sebuah anak syarikat New Tech Group melalui projek  projek penswastaan yang dimeterai dengan MPK pada 8 Mei 2013.

Menurut Kok Hiang,  majlis penyerahan hari ini adalah sebahagian daripada komitmen syarikatnya untuk fasa pertama projek Gerbang Selatan idan kini di fasa kedua sebagaimana yang dirancangkan.

Menyentuh mengenai pembinaan pangsapuri, Kok Hiang memberitahu, sebanyak 264 unit disediakan dengan harga jualan RM370,000 hingga RM880,000 dengan kediaman selesa di kawasan strategik pusat bandar.

Sementara itu, Johan berkata, projek kerjasama dengan sektor swasta seperti ini akan membantu meningkatkan lagi perkembangan ekonomi di daerah termasuk dengan penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan. - UTUSAN ONLINE