Menterinya Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, langkah itu bagi memastikan usahawan tidak menyalah guna peruntukan untuk tujuan selain perniagaan.

"Kita masih lagi merancang untuk bajet akan datang tapi saya nak beritahu awal, kita kena ketepikan jangkaan lebih banyak bantuan-bantuan berbentuk percuma (akan diberikan kerajaan kepada usahawan).

"Namun kita akan bagi bantuan kepada kumpulan sasaran. Kita mahu orang yang betul-betul ada merit dan kita akan bantu (usahawan terbabit)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan  bangunan tambahan Kilang My-Sutera Sdn Bhd dan pelancaran mega Canggih Shoppe di Padang Tembak di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalannya Dr. Mohd Hatta Md Ramli dan Pengerusi Kumpulan My-Sutera Sdn. Bhd. Annas Ahmad.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan turut membayangkan bantuan yang akan diberikan kepada usahawan pada tahun depan lebih berbentuk kepada pinjaman.

"Kalau (diberikan) bantuan percuma, kalau habis, habis begitulah, tak ada pulangan untuk usahawan lain. Jadi kita nak letak (beri pinjaman) kepada usahawan dan usahawan terbabit pulangkan balik pinjaman dan pinjaman yang dipulangkan itu dapat digunakan untuk membantu usahawan lain pula.

"Dengan skim sebegitu saya rasa kita boleh jana lebih banyak lagi usahawan," katanya sambil menambah pinjaman akan diberikan tanpa memilih mana pihak walaupun berbeza pandangan politik ataupun bangsa.-BERNAMA