Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun turut memberi jaminan setiap permohonan geran berkenaan telus tanpa melibatkan fahaman politik.

“Apabila permohonan dibuat oleh MPKK, kita ada ahli panel yang menilai untuk kelulusan geran-geran ini.

“Ini yang saya kata jangan ada salah faham, ia dibuat dengan telus, permohonan itu ada jawatankuasa yang akan menilai dan sudah pasti apa sahaja perancangan atau program dirancang, matlamat utamanya adalah memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Senyum, Sapa, Salam (3S), di sini hari ini.

Mengulas lanjut Rina berkata, setakat ini pihaknya telah menjalankan kursus induksi untuk anggota MPKK di lima buah negeri bagi membantu meningkatkan kecekapan dan kemahiran dari segi pengurusan serta pentadbiran termasuk kemahiran penyediaan permohonan geran.