Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan DAP sering menyaman media sebagai taktik untuk tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan.

Katanya, berdiri di atas alasan untuk membuktikan kebenaran, DAP menutup semua kritikan dengan tindakan undang-undang berterusan.

“Saya juga ingin menghantar mesej jelas kepada Lim Guan Eng dan pimpinan DAP yang lain bahawa bukan DAP sahaja mempunyai peguam, Gerakan juga memiliki banyak pemimpin serta ahli yang juga peguam,” kata Teck Meng yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Teck Meng juga menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang itu supaya lebih terbuka dan telus dalam menghadapi setiap pendedahan mahupun bukti dikemukakan berkaitan kelemahan kerajaan negeri pimpinan DAP.

Kata beliau, Guan Eng perlu menghentikan tindakannya mengugut mengambil tindakan undang-undang terhadap organisasi media yang melaporkan kelemahan tadbir urus kerajaan negeri pimpinannya kerana itu adalah proses pendemokrasian politik.

Menurutnya, Guan Eng atau sesiapa sahaja pemimpin DAP sepatutnya lebih terbuka dalam berhadapan isu berbangkit dengan tampil memberi penjelasan terhadap laporan atau dakwaan dikemukakan oleh pihak tertentu yang disiarkan dalam media, dan bukannya mengugut untuk menyaman mereka.

“Ini amalan tidak sihat dan harus dihentikan segera. Kalau tidak boleh jawab mengapa pilih cara ini (saman) bagi tutup mulut media, seolah-olah cuba untuk menakut-nakutkan media,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Gerakan di Menara PGRM, Jalan Pudu Ulu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Teck Meng, isu dibangkitkannya adalah susulan daripada tindakan Guan Eng menuntut sebuah akhbar berbahasa Inggeris menarik balik berita disiarkan berkenaan sidang akhbarnya pada Januari lalu berhubung isu lebihan bajet kerajaan negeri Pulau Pinang.

Dalam sidang akhbar tersebut, Teck Meng telah memetik laporan Ketua Audit Negara mengenai Pulau Pinang yang menjelaskan bahawa kerajaan negeri itu mencatatkan lebihan bajet adalah hasil aktiviti penjualan tanah dan aset negeri.

Namun katanya, Guan Eng beberapa hari selepas laporan berita itu disiarkan, kemudiannya tampil mengeluarkan kenyataan dengan menggelarkan dirinya sebagai ‘tidak pintar’, gagal memahami akaun dan Laporan Audit Negara mengenai Pulau Pinang.

Selanjutnya, pada 16 Februari, tanpa memberikan sebarang jawapan, Guan Eng sebaliknya telah mengeluarkan surat tuntutan kepada beliau dan akhbar berbahasa Inggeris itu supaya menarik balik laporan berita yang disiarkan dengan mendakwa ia adalah fitnah. - UTUSAN ONLINE