Setiausaha Majlis Perundangan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad berkata, perhimpunan tersebut bertujuan mengerakkan kebangkitan semangat orang Melayu dalam mewujudkan penyatuan bermaruah dan menguatkan perpaduan sesama bangsa.

Menurutnya, ancaman terhadap bangsa kini turut berakar umbi daripada perpecahan dalaman termasuk ramai dalam kalangan orang Melayu kini berfahaman liberal dengan menyokong amalan lesbian, biseksual, gay dan transgender (LGBT) yang tidak selari dengan ideologi sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Perpecahan dalam kalangan orang Melayu tidak terhad dalam politik semata-mata malah banyak lagi faktor yang mendorong ke arah itu.

“Bagi mengekang permasalahan ini, kita minta semua pihak agar dapat menyuarakan pendapat pada hari tersebut supaya dapat menuju ke arah yang lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Penasihat MPM yang juga bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar; Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Tan Sri Dr. Sahol Hamid dan Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Prof. Dr. Azizul Halim Yahya.

UiTM merupakan penganjur bersama bagi perhimpunan tersebut selain Majlis Amanah Rakyat (Mara), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

MPM yang sebelum ini merancang untuk mengadakan perhimpunan itu pada 10 Januari depan di Stadium Putra Bukit Jalil terpaksa membatalkannya atas sebab bencana banjir.