Inisiatif itu diutarakan oleh seorang peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz menerusi laman sosial Facebook beliau, Buzze Azam.

Beliau yang juga bekas calon Bebas bagi kerusi Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjelaskan, tuntutan itu adalah bersempena sambutan ke-70 penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.

Meskipun tuntutan-tuntutan itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun beliau mendakwa perkara tersebut semakin dilupakan oleh kerajaan.

“Demi kelangsungan hidup bernegara untuk anak cucu kita, marilah bersama-sama menuntut kembali hak yang sememangnya telah termaktub lama dalam Perlembagaan Persekutuan sejak negara merdeka pada tahun 1957 dahulu,” katanya menerusi petisyen yang dimuat naik di laman Facebook beliau sejak semalam.

Antara tuntutan yang dikemukakan termasuk memperkukuhkan Islam sebagai agama Persekutuan menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Petisyen itu juga menuntut supaya digunakan kembali istilah bahasa Melayu seperti diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Antara lain adalah menuntut fasal wajib untuk menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi kerajaan termasuk mesyuarat, sidang akhbar, kertas kerja dan pembentangan.

Petisyen tersebut turut menuntut supaya Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dipinda bagi membolehkan dakwaan dibuat terhadap mana-mana pihak yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi.

Selain itu, perkara lain yang dikemukakan dalam petisyen berkenaan termasuk menuntut sistem persekolahan satu aliran kebangsaan bagi memupuk perpaduan dan keharmonian kaum. - UTUSAN ONLINE