Presiden Kebangsaan Gepina, Syed Osman Mohammed berkata, perkenan Sultan Muhammad V untuk turut sama membantu mengurangkan beban hutang Kerajaan Persekutuan menunjukkan kecintaan terhadap negara tidak mengira siapa malah merentas latar keturunan setiap yang bergelar warganegara Malaysia yang tercinta ini.

Syed Osman Mohammed
Syed Osman Mohammed

"Gepima menyambut baik tindakan Seri Paduka ini dan berharap langkah yang sama dapat diikuti oleh pihak-pihak lain pula," katanya kepada Utusan Online.

Dalam keadaan kerajaan sekarang sedang berusaha untuk melunaskan hutang negara, beliau berpendapat rakyat dari segenap lapisan perlu menunjukkan tanda sokongan tidak berbelah-bahagi bagi menjayakan usaha tersebut.

"Jika tidak dapat pun menderma atau menyumbang sejumlah dana, cukuplah jika mereka mampu mengurus perbelanjaan secara berhemat agar tidak berlaku pembaziran di mana-mana terutama yang membabitkan dana awam.

"Di pihak kementerian dan agensi kerajaan misalnya mungkin boleh mengecilkan perbelanjaan rumah terbuka agar tidak bermewah-mewah sehingga berlebihan," katanya.

Sultan Muhammad V semalam dilaporkan memberi perkenan agar peruntukan gaji dan emolumen sebagai Yang di-Pertuan Agong dikurangkan sebanyak 10 peratus sepanjang tempoh pemerintahan Seri Paduka sehingga 2021.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz berkata, ini kerana Seri Paduka amat prihatin tentang tahap hutang dan keadaan ekonomi negara serta mahu bersama-sama rakyat menunaikan tanggungjawab terhadap negara. - UTUSAN ONLINE