Ketua kumpulan, Diami Yusoff, 60, berkata, buat masa ini mereka masih lagi menunggu berita daripada pejabat Kedutaan Arab Saudi di Malaysia untuk mengetahui kata putus kelulusan visa.

Diami berkata, terdapat dua lagi pilihan sama ada mencuba membuat pendaftaran visa transit secara atas talian ataupun langkah yang lebih ekstrim adalah 'menerbangkan' pasport ke Malaysia untuk diuruskan Kedutaan Arab Saudi di sana.

"Jarak kami sekarang dengan Mekah hanya kira-kira 2,400 kilometer lagi tetapi kami tidak akan meneruskan perjalanan selagi urusan mengenai visa belum selesai, hari ini pula cuti umum Tahun Baharu 2019 jadi pejabat tutup.

"Jika mengikut jadual yang dirancang kami sepatutnya sudah melepasi Abu Dhabi dan sudah sampai pun ke Riyadh, Arab Saudi tetapi masih tersangkut di sini, sejak tiba di Dubai petang Khamis lalu kami sibuk dengan urusan dokumen bagi mendapat visa," katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Diami berkata, dia bersama dua rakannya Mohd Zalani Zulkifli,64 dan Mohamad Fadli Ab Rashid, 40, kini menumpang di bilik seorang rakan di Dubai.

Jelasnya, walaupun visa untuk empunya diri memasuki Arab Saudi belum diperoleh, namun mereka bersyukur kerana proses kelulusan kuda besi 135 cc yang menjadi sahabat sejati selama dua bulan ini tidak pula berdepan masalah.

"Kelulusan untuk membawa masuk motosikal kami melalui pintu sempadan Al-Batha iaitu sempadan antara UAE dan Arab Saudi sudah kami dapat semalam lagi," katanya.

Mereka bertiga memulakan misi menunggang motosikal kapcai menuju Mekah untuk menunaikan umrah sejak 3 November lalu dan telah merentasi enam buah negara asing setakat ini. - UTUSAN ONLINE