Baginda bertitah, anak-anak juga perlulah dibimbing sejak daripada kecil supaya menyayangi ibu bapa dan orang yang lebih tua melalui pendidikan di sekolah dan di rumah.


“Guru-guru pula memainkan peranan penting memupuk pelajar supaya lebih bersifat penyayang, prihatin dan bertanggungjawab selain memberi peluang kepada mereka melibatkan diri secara aktif dalam kerja-kerja kebajikan,” titah baginda sempena lawatan ke Rumah Orang Tua Uzur Pulau Pinang di Jalan Masjid Negeri di sini hari ini.


Lawatan tersebut adalah sebahagian daripada program tahunan Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang Untuk Pelajar Terbaik dan Cemerlang serta Pengawas Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis 2017.


Ia merupakan anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (Unimap) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis.


Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Yang turut hadir Setiausaha YTSP, Datuk Johari Mohd Darus, Presiden Rumah Orang Tua Uzur Pulau Pinang, Datuk Chan Ban Eng dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang, Shaballah Zainal Abidin.


YTSP Perlis telah menyumbangkan wang tunai sebanyak RM3,000 kepada rumah amal tersebut yang dihuni oleh seramai 168 orang warga emas.


Sebanyak 38 pelajar terbaik dan cemerlang dan 58 pengawas terpilih menyertai bengkel selama tiga hari mulai hari ini di Rainbow Paradise Beach Resort, Tanjung Bungah dekat sini. - UTUSAN ONLINE