Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, golongan tersebut khususnya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak mestilah di didik agar mempunyai nilai-nilai terpuji dan kesedaran cintakan negara.

Baginda bertitah, para pemimpin juga harus berusaha lebih keras dalam memberi kefahaman dan peringatan kepada setiap lapisan masyarakat seterusnya menanamkan semangat nasionalisma dan kenegaraan.

“Secara tidak langsung mereka sendiri akan berperanan secara individu untuk mempertahankan negara dari sebarang bentuk ancaman yang mendatang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menghadiri program memperingati Hari Pahlawan di Masjid Sirajuddin, Padang Pauh, Jalan Kaki Bukit, Beseri, di sini semalam.

Program tersebut dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Majlis tersebut turut disekalikan dengan program Kayuhan MAIPs Peduli Menjejak dan Menyantuni Asnaf ke-56 bagi tahun ini.

Turut hadir pada majlis itu, Panglima Markas Briged Ke-30 Infantri, Brig. Jen. Hashim Aman Shah; Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam pada itu, baginda bertitah, adalah amat penting bagi memanifestasikan generasi akan datang mengenai warisan, budaya dan etika-etika dalam masyarakat supaya turut memahami serta menghargai pengorbanan para pahlawan negara.- UTUSAN ONLINE