Kejayaan itu terukir selepas pe­nantian selama 10 tahun bagi Malaysia yang pertama kali membuat tempahan pendakian pada 1986.

Mengimbas kembali kenangan berkenaan pada tanggal 23 Mei 1997, Magendran berjaya menawan puncak tertinggi di dunia ber­kenaan pada pukul 11.55 pagi waktu Nepal atau 2.10 petang waktu Malaysia dan diikuti Datuk N. Mohandas, 15 minit kemudian.

Mereka bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di puncak dunia yang mempunyai ketinggian 8,850 meter (29,029 kaki) dari paras laut.

Kejayaan itu bukan sahaja meletakkan nama Malaysia dalam senarai pendaki Everest dunia malah Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara pada ketika itu yang berjaya menakluk puncak tertinggi berkenaan.

Magendran berkata, meskipun sudah 20 tahun berlalu, namun perasaannya masih sebak setiap kali mengimbas kembali kenangan terindah itu.

“Slogan Malaysia Boleh menjadi ungkapan keramat kami. Slogan ini umpama ada nyawa yang memberi semangat yang luar biasa ketika ia dilaungkan. Slogan ini bukan sahaja membawa mentaliti rakyat Malaysia untuk keluar dari kepompong ketakutan malah membawa kita mencapai sesuatu yang luar biasa,” katanya ketika ditemui selepas majlis Celebrating Two Decades of First Malaysian On Everest di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan; Presiden Majlis Sukan India Malaysia (MISC), Datuk T. Mohan dan pendaki-pendaki Gunung Eve­rest tahun 1997.

Magendran menambah, pada awalnya, wujud juga pelbagai tanggapan bahawa usaha untuk menawan puncak tertinggi dunia terbabit akan menemui kegagalan.

Namun katanya, kecekalan dan kegigihan mereka berdua akhirnya telah membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dicapai jika ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan bersemangat jitu, malah ia sudah 20 tahun berlalu.

Beliau berkata, pada setiap tahun, beliau membawa sekumpulan pelajar untuk mendaki Gunung Kinabalu.

Sementara itu, Mohandas mahu melihat lebih ramai rakyat Malaysia yang menawan puncak tertinggi dunia itu.

Perkara itu katanya, tidak mustahil dengan adanya pendedahan yang luas berbanding 20 tahun dahulu.

Dalam pada itu, Mohan berkata, MISC dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan dalam perancangan untuk menubuhkan kelab pendaki bagi menyiapkan golo­ngan belia untuk terlibat dalam aktiviti pendakian termasuk menawan Gunung Everest.

“Kelab yang akan dibimbing oleh Magendran dan Mohandas ini adalah ditawarkan secara percuma kepada semua kaum,” ujarnya.