Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail berkata, festival kali ini yang berlangsung selama tiga hari menampilkan kelainan dengan penggunaan teknik, teknologi visual dan audio terkini serta pencahayaan beresolusi tinggi di dalam pemetaan bercahaya 3 dimensi (3D) di fasad bangunan Istana Kehakiman.

"Festival kali ini yang bertemakan Ekspresi Negaraku, Ekspresi Malaysia dan Alam Semulajadi menyasarkan bilangan pengunjung sebanyak satu juta orang.

"Antara tarikan baharu yang diperkenalkan ialah The Kindle Garden di Laman Kiblat Walk yang bertemakan taman fantasi iaitu gabungan dua dimensi iaitu nusantara dan alam maya," katanya dalam sidang akhbar, di sini.

Menurut Hasim, antara segmen lain yang turut diadakan sempena festival itu ialah persembahan dekorasi lampu gantung bertema dan lukisan 3D di atas lantai serta reka bentuk struktur cahaya unik dan kesan bayang.

Dalam pada itu, katanya, sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2018 Ahad ini pula, para pengunjung akan dipersembahkan dengan pertunjukan bunga api secara langsung dan pertunjukan bunga api digital. - UTUSAN ONLINE