Penasihat program, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, Gema Wahyu yang dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas akan membawa qari dari dalam dan luar negara untuk membaca surah Yasin secara bertaranum dan tadarus.

Menurutnya, program itu akan bermula pada pukul 4 petang dan antara qari yang dijemput ialah Johan Tilawah Antarabangsa 2011, Amir Rahman Abbas; remaja buta yang mendapat tempat ketiga Tilawah Al-Quran Kebangsaan baru-baru ini, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dan qari dari Singapura, Muhammad Zahil Zakaria.

“Pencetus Ummah (PU) Mohd. Yusof Arbain turut dijemput untuk memberi penjelasan secara terperinci tentang surah yang dibacakan itu.

“Talaqqi atau interaksi bersama pengunjung tentang surah yang telah dibacakan turut diadakan selain bacaan al-Quran daripada artis seperti Raqib Majid dan Johan As'ari," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Tar­mizi memberitahu, program itu diadakan dalam usaha untuk men­dekatkan lagi masyarakat dengan al-Quran.

“Surah Yasin pula dipilih ke­r­ana surah itu dekat dengan masyarakat dan sering kita amalkan.

“Program ini memberi peluang kepada orang ramai untuk mendengar bacaan surah Yasin yang lebih tepat dan mengetahui maksudnya dengan lebih mendalam,” ujarnya.