Pernah memenangi pertan­dingan itu pada tahun 2013, Gema Gangsa dengan slogan Ritma dan Melodi Bersatu Dalam Harmoni, kali ini disaingi 14 kumpulan lain yang secara keseluruhannya telah menunjukkan peningkatan ketara, malah dianggap luar biasa oleh pihak penganjur.

Selain membawa pulang RM7,000 dan piala bagi juara ke­seluruhan, Gema Gangsa turut me­rangkul tempat kedua kategori kreatif dengan hadiah RM3,500 yang disampaikan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (pengurusan), Samiun Salleh.

Dengan kemenangan itu, Gema Gangsa dipilih beraksi dalam Festival Gamelan Sedunia 2015 selama tiga hari, bermula hari ini yang turut disertai kumpulan dari beberapa buah negara termasuk Jepun, United Kingdom dan Indonesia.

Juara kategori kreatif pula di­sandang Gamelan Anggun Universiti Malaya (UM) manakala kumpulan Gamelan Purbawara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) me­nguasai kategori tradisional de­ngan masing-masing menerima hadiah RM5,000 dan piala.

Dalam pertandingan kali ketiga yang berlangsung selama dua hari di Stadium Tertutup, Gong Badak, panel juri yang diketuai Datuk Johari Salleh turut memilih kumpulan Alkis Gemawan bagi tempat kedua kategori tradisional.

Yang turut beraksi dalam pertandingan kali ini ialah Gamelan IMAC Kolej Islam Antarabangsa, Anjung Seni, Warisan Irama (Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam), Pawana Beringin (Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan), Gamelan Kraf Warisan (Institut Kraf Negara), Alun Perenggu (Alumni UIAM), Sanggar Kirana (Universiti Teknologi Petronas), Simfoni Lokanata (UiTM Terengganu), Gamelan Sari (UiTM Terengganu), Gema Gamelan (Universiti Tenaga Nasional) dan Bayu (Universiti Pendidikan Sultan Idris).

Pengerusi penganjur, Yusof Abdullah ketika berucap dalam majlis tersebut menyatakan kekaguman beliau terhadap usaha setiap kumpulan yang banyak dibarisi kalangan muda untuk menonjolkan persembahan terbaik dalam format yang lebih kontemporari dan profesional.

“Program ini menjadi salah satu wadah untuk menyubur dan mengembangkan gamelan Melayu yang masih lagi terbatas dari segi jumlah kumpulan di serata pelosok dunia berbanding gamelan Bali dan Jawa,” ujarnya.

Kata beliau, pertandingan berprestij anjuran kerajaan ne­geri ini memberi ruang kepada pencinta dan penggiat seni wari­san untuk menonjolkan pelbagai ciptaan mereka secara kreatif dan kompetitif sehingga dapat terus mendekatkan muzik warisan de­ngan masyarakat.

Sementara itu, dalam ulasan­nya, Johari antara lain menyifatkan pertandingan kali ini memperlihatkan peningkatan mutu dengan persembahan menarik terutama dalam aspek kreatif yang diyakini dapat terus dilonjakkan.

“Malah terdapat kumpulan yang dianggotai oleh kumpulan bukan Melayu,” katanya sambil menyifatkan sebagai cerminan warisan budaya boleh menjadi milik bersama dan menyatukan semua bangsa.

Namun katanya, dalam konteks adunan dengan peralatan muzik moden bagi menyegarkan dan mengindahkan lagi persembahan, selain aspek visual seperti gerak perlu mengambil kira aspek harmoni bunyian yang terhasil.