Laungan kalimat sembah takzim itu bergema beberapa minit sebelum Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang berakhir di sini hari ini.

Mesyuarat bermula pukul 4 petang itu dipengerusikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melibatkan kerabat diraja dan Orang-Orang Besar Berempat, Berlapan serta Enam Belas Pahang.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara Orang-Orang Besar Berempat Pahang dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang hadir dalam mesyuarat secara tertutup itu.

Selepas lebih tiga jam mesyuarat berlangsung, Tengku Abdullah yang kemas memakai sut bergambar dengan kesemua para jemaah dan ahli keluarganya termasuk Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Sama-sama,” kata Tengku Ab­dullah selepas mene­rima uca­pan tahniah dalam kalangan warga media.

Apabila ditanya lanjut mengenai intipati mesyuarat yang berakhir pukul 7.30 petang itu, Tengku Abdullah berkata:

“Terima kasih media, teri­ma kasih semua. Tak boleh komen,” katanya.

Walaupun media tidak dimaklumkan agenda mesyuarat itu, namun dipercayai bagi membincangkan mengenai ke­du­dukan Tengku Abdullah untuk menggantikan ayahandanya, Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang yang baharu.

Ia diperkuat lagi apabila Tengku Abdullah sendiri menyebut “doakan yang baik-baik” sebelum memasuki bilik mesyuarat pukul 4 petang.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, pengumuman mengenai mesyuarat hari ini hanya akan dimaklumkan esok di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang

“Mengenai apa-apa keputusan hari ini akan diumumkan di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pukul 3 petang,” katanya yang enggan mengulas lanjut.