Ketua Misi Bantuan Kecemasan Rescue Syria - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Sani Araby al-Kahery berkata, situasi itu bakal berlaku kerana masyarakat setempat berusaha mencari pelindungan di negara-negara yang berdekatan kerana serangan dijangka berlaku setiap hari.

Sambil memberi contoh, beliau memberitahu, ramai rakyat Syria menjadi pelarian di negara-negara sempadan sehingga mencecah 80,000 orang ekoran serangan udara bertubi-tubi ke atas Aleppo hujung tahun lalu.

“Implikasi lain yang turut berlaku adalah rasa tidak tenteram dalam kalangan rakyat Syria ke­rana mereka mengetahui sera­ngan yang berlaku baru-baru ini melibatkan negara-negara kuasa besar yang pastinya akan berlaku tindakan balas.

“Atas sebab itu, Mapim membawa lebih banyak barangan perubatan, khemah pelarian dan bekalan dalam misi bantuan seterusnya yang dijangka hujung bulan ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

AS semalam melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sasaran tentera Syria susulan serangan senjata kimia di wilayah pemberontak negara tersebut.

Sebanyak 59 peluru berpandu jenis Tomahawk dilaporkan telah dilancarkan dari kapal Navy Destroyer terhadap pangkalan udara Syria.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Lifeline for Syria, Syahrir Azfar Saleh berkata, pihaknya melihat serangan kali ini lebih baik berbanding sebelum ini kerana musuh memberitahu terlebih dahulu sebelum menyerang Syria.

Katanya yang telah 20 kali menghantar bantuan ke negara bergolak itu sejak 2012, keadaan itu membolehkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan bersiap siaga memindahkan mangsa dan barangan berharga ke lokasi yang selamat.

“Alhamdulillah, segala aset seperti kilang roti, hospital dan sekolah yang telah kami bangunkan di Khan Shaykhun, Syria selamat berbanding kerugian besar hampir RM1 juta terpaksa ditanggung akibat serangan di Aleppo tahun lalu,” katanya.

Syahrir Azfar berkata, pihak­ nya akan menghantar bantuan perubatan bernilai kira-kira RM100,000 minggu depan dan 100 buah ambulans hasil kerjasama dengan pertubuhan dari United Kingdom (UK) hujung bulan ini.