Sejak dilancarkan, PPPM yang sudah memasuki tahun keempat dilaksanakan dan kini memasuki Gelombang Kedua berjaya membawa perubahan terhadap dimensi pendidikan negara.

Sebanyak 20 inisiatif utama Gelombang Kedua PPPM dite­ruskan bagi memacu peningkatan sistem pendidikan di negara ini.

Antara inisiatif tersebut ialah pengukuhan perpaduan di sekolah, Pembudayaan Kemahiran Berfikir Dalam Pembelajaran Abad Ke-21 dan Pengukuhan Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Selain itu, Program Transformasi Daerah (DTP), peluasan penglibatan sektor swasta dan pelaksanaan struktur baharu Kementerian Pendidikan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, PPPM memacu sistem pendidikan negara menerusi pelbagai inisiatif yang terkandung dalam dokumen tersebut.

Katanya, Gelombang Kedua juga mengariskan dua sasaran mikro bagi meneruskan kesinambungan Gelombang Pertama yang lebih menumpukan mengubah sistem sokongan guru dan kemahiran utama.

Beliau menjelaskan dua perkara tersebut adalah kualiti sekolah dan kemenjadian murid.

“Gelombang Satu PPPM telah pun selesai tiga tahun lalu dan berjaya mencapai fokusnya iaitu pembangunan kapasiti yang me­rangkumi guru, sekolah dan murid dan pelajar.

“Jika pada Gelombang Pertama PPPM, kita fokus untuk me­ngubah struktur pendidikan, tetapi Gelombang Kedua pula ditumpukan terhadap transformasi pembudayaan pendidikan,” katanya.

Mengulas lanjut Amin berkata, pihaknya mahu pelaksa­naan PPPM dapat dirasai setiap masyarakat dan tidak mahu hanya sekadar ia tertulis atas dokumen semata-mata.

“Pokok pangkalnya, hasilnya adalah kemenjadian pelajar itu sendiri yang menjadi ukuran kejayaan PPPM,” jelas beliau.

Bagi mencapai hasrat itu, Amin menjelaskan, Gelombang Kedua PPPM melihat kepada keberke­­­sa­nan pelaksanaan dan pelaporan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan tidak menumpukan kejayaan seseorang murid atau pelajar berasaskan peperiksaan.

Tambahnya, bermula darjah satu sehingga tingkatan tiga, ukuran kemenjadian pelajar dan murid berdasarkan tahap penca­paian mereka yang dianalisis sukan, kokurikulum, personaliti dan minat kerjaya.

“Selepas itu ketika tingkatan empat dan lima, barulah kita kenal pasti kecenderungan mereka sama ada ke aliran sains atau vokasional sebelum mereka me­lanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Menurut Amin lagi, salah satu inisiatif utama Gelombang Kedua PPPM adalah pelaksanaan DTP yang dilihat mengubah landskap pejabat pendidikan daerah (PPD) secara holistik.

Beliau menjelaskan, PPD kini tidak akan bersifat pentadbiran semata-mata termasuk menguruskan pertukaran guru tetapi berfungsi membimbing sekolah-sekolah di bawah pentadbiran mereka ke arah kecemerlangan menerusi pembangunan program pendidikan daerah masing-masing

“Setiap PPD bertindak memantau kehadiran murid, disiplin murid, kehadiran guru, kualiti pe­ngajaran dan kepimpinan sekolah.

“Malah Dialog Prestasi DTP melibatkan antara PPD dan pe­ngurusan sekolah berperanan untuk memantau prestasi setiap sekolah masing-masing,” katanya.

Amin berkata, sekiranya berlaku penurunan prestasi di sekolah tertentu, sekolah lain akan membantu sekolah berkenaan bagi meningkat kemajuan.

“Maka selepas ini, tiada lagi sekolah ini terbaik, sekolah itu kurang cemerlang, kita sama-sama berganding bahu membantu meningkat prestasi pelajar,” katanya.