Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh ketika berucap menyempurnakan upacara itu berkata, gelombang ke arah kebangkitan itu dalam tempoh 30 tahun yang disasarkan itu berdasarkan acuan manusia seimbang yang kukuh jati diri dan pegangan agamanya di samping berbakti kepada bangsa dan negaranya.

Beliau memberi gambaran contoh ikon impian, pemuda yang dinamakan Firdaus Imtiaz yang terdidik dalam agama dan penyayang, berkelulusan daripada universiti terkemuka dunia dengan penguasaan pelbagai bahasa yang menjadi ahli korporat dengan menerajui  syarikat multinasional.

“Gelombang Firdaus 2050 dilancarkan di peringkat negeri ini untuk membawa semangat bagi melahirkan anak bangsa yang hebat, bermula dengan kesedaran dan pemikiran, jika tidak, tak akan membawa kita ke mana-mana,” ujarnya.

Yang turut hadihr dalam majlis yang diadakan di Hotel Permai di sini termasuklah Pengerusi Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Cawangan Terengganu, Datuk Syed Abu Bakar Abdullah.

 Majlis dijayakan bersama oleh kerajaan negeri, PPKM dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu selaras dengan gerakan fasa persediaan Tansformasi Nasional 2050 (TN50), satu inisiatif pembangunan negara yang merangkumi tahun 2020 hingga 2050.

 TN50, Inisiatif  yang akan dipacu oleh matlamat dan sasaran jelas selama 30 tahun bagi membentuk masa depan negara, bukan sekadar sebuah negara maju tetapi turut berada di tangga teratas dalam carta ekonomi dan tahap kesejahteraan hidup rakyat.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Idris berkata, penglibatan golongan pesara dalam pelbagaI bidang,  dengan ilmu dan pengalaman mereka bagi menggerakkan bersama gelombang itu amat diharapkan agar mereka dapat terus berperanan bagi kepentingan rakyat dan negara. - UTUSAN ONLINE