Sambil menyifatkan perkara itu amat membimbangkan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Abdullah berkata, gejala tidak sihat itu perlu dibendung segera.

"Apa yang meresahkan kita ada dalam kalangan LGBT itu merupakan kanak-kanak seawal usia 9 tahun.

"Berdasarkan maklumat diterima, kanak-kanak itu dikesan terlibat dalam kegiatan homoseksual sewaktu mendapatkan rawatan di hospital. Mereka didapati tinggal bersama golongan LGBT di pusat bandar di negeri ini", katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Pembetukan Model Perawatan Komuniti LGBT Nasional Persepsi dan Realiti di Hotel Permai, di sini petang tadi.

Program selama dua hari yang dijayakan 70 peserta terdiri daripada pakar akademik, aktivis sosial dan para agamawan antara lain bertujuan untuk membentuk satu model perawatan komuniti LGBT secara holistik di peringkat nasional dan Terengganu diharap menjadi negeri contoh kepada pelaksanaan modul perawatan ini.

Menurut Wan Sukairi, bagi membendung gejala LGBT daripada terus menular, kerajaan negeri bercadang untuk mengadakan siri ceramah mengenai bahayanya kegiatan LGBT di sekolah-sekolah di negeri ini.

Mengenai jumlah golongan yang terlibat dengan kegiatan LGBT di negeri ini, beliau mengatakan tidak memiliki angka yàng tepat, sebaliknya mengulangi bahawa ia amat membimbangkan.

"Setakat ini Dungun merupakan daerah yang paling ramai dan aktif dalam kegiatan LGBT di negeri ini diikuti Kuala Terengganu. - UTUSAN ONLINE