Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kesemua tujuh silinder gas itu dibawa ke negeri ini untuk dijadikan transit dan dipercayai gas tersebut dicuri di luar negeri ini sebelum dibawa dan ditempatkan di sebuah rumah di kampung tersebut.

"Hari ini kerajaan negeri menerima sebahagian daripada laporan insiden itu, laporan lengkap mengenainya belum diterima tetapi cukup untuk kita maklumkan bahawa kesemua mangsa yang terlibat dan menerima rawatan susulan kejadian itu sudah pulang ke rumah masing-masing.

"Laporan itu juga menyebut kebocoran berlaku membabitkan gas klorin dan kesemua tujuh balang (silinder) tersebut tidak berdaftar dan tiada sebarang keperluan di Melaka, cuma negeri ini dijadikan transit dan dimaklumkan gas tersebut adalah kes curi," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri di sini petang ini.

Kejadian minggu lalu itu telah menyebabkan kira-kira 250 penduduk Kampung Tambak Paya diarah mengosongkan kediaman masing-masing bagi membolehkan pihak bomba mengalihkan tujuh silinder gas klorin yang ditemukan di kampung berkenaan.

Mengulas lanjut, Idris berkata, laporan itu juga sekali gus menafikan wujud unsur sabotaj oleh pihak tidak bertangungjawab yang cuba mencemar imej negeri ini namun pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa iaitu polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

Beliau turut mengingatkan orang ramai khususnya penduduk negeri ini supaya sentiasa peka dengan gerak-geri mencurigakan seperti dalam kejadian ini dengan segera memaklumkan kepada pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Alam Sekitar atau pihak berkuasa tempatan.

"Tujuh silinder gas klorin seberat 1,000 kilogram setiap satu adalah sesuatu yang luar biasa jadi kalau dilihat maka perlu dibuat laporan, dalam kejadian itu mereka nampak balang diturunkan tetapi tidak membuat laporan sehinggalah salah satu daripadanya bocor dan mengeluarkan gas tersebut," katanya. - UTUSAN ONLINE