Pengerusi Jawankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, sejak sekian lama peraturan yang digunakan adalah dilaksana berdasarkan ketetapan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Sultan Johor.

“Peraturan masih sama, apa yang dikehendaki majilis agama di bawah tuanku adalah tidak boleh ada libatkan politik dan isu sensitif sekali gus boleh menjejaskan keharmonian kaum di negeri ini.

“Mereka juga tidak dibenarkan untuk sentuh pihak tertentu dan mengaitkan dengan perkara-perkara yang tidak wajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perasmiam Penutup Tenaga Kejurulatihan Kursus Pra Perkahwinan Islam di Kota Iskandar, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) Mohd. Helmi Sha ri.

Aminolhuda berkata, penegasan terhadap larangan itu juga adalah bagi memastikan tiada kekeliruan dalam fahaman Islam di negara ini yang mana sentiasa berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Waljmaah.

“Jangan libatkan unsur-unsur yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Waljamaah. Inilah yang menjadi sensitiviti kepada kerajaan negeri. Sultan Johor sendiri beri peringatan kepada saya masa mula-mula saya jadi Exco dulu.

“Kalau nak buat ceramah, buatlah tetapi jangan sentuh mana-mana pihak, jangan salah gunakan tauliah sehingga boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau bagaimanapun enggan menyatakan berapa jumlah terkini pendakwah yang telah dilarang menyampaikan ceramah di negeri ini.

“Kita memang ada senarai, tetapi siapa mereka biarlah rahsia. Kalau tengok mereka itu tidak berceramah di sini, mungkin merekalah itu.

“Larangan ini bukan bermakna mereka itu tidak Islam, tetapi ada daripada kriteria yang ditetapkan mereka tidak patuhi,” katanya. - UTUSAN ONLINE