Garden District yang terletak di kawasan seluas 2.3 hektar dibahagikan kepada enam kluster utama iaitu [email protected], Galeri Mi­nyak Pati, DIY Agriculture Plaza, Laman Herba, Laman Sayur dan Market Place.

Matlamat kawasan pa­meran itu adalah untuk menarik minat pengunjung menghasilkan sendiri makanan atau produk dalam kehidupan harian sekali gus menjimatkan perbelanjaan isi rumah.

DIY Agriculture Plaza yang diilhamkan sendiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek adalah tarikan utama Garden District.

Plaza itu mempamerkan dan menunjukkan demonstrasi kit fertigasi, psikiponik, penggunaan bahan terpakai sebagai bekas tanaman, kotak koloni kelulut, kit cendawan, kit penghasilan sabun dan kit penghasilan baja menggunakan sisa dapur.

Laman Herba dibahagikan kepada beberapa zon yang menawarkan terapi aroma dan warna selain setiap pokok herba ditanam dan dilabelkan kod QR supaya pengunjung boleh menggunakan telefon pintar untuk melihat maklumat pokok terbabit.

Laman tersebut turut menempatkan Laman Kelulut yang membolehkan pengunjung menyedut madu terus dari sarang dan me­nyaksikan bagaimana madu kelulut serta produk berkaitan dihasilkan.

Sementara di Market Place pula menawarkan produk-produk jualan termasuk biji benih sa­yuran, anak pokok, baja herba, campuran tanah, produk herba dan kecantikan.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar antara pemimpin negara yang melawat Garden District hari ini.

Kunjungan ke Garden District pasti memperoleh ilmu baru dan menimbulkan minat untuk melakukannya sendiri di rumah.