Ketua I Gapena, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, ia merupakan satu keperluan atas kapasiti untuk menggabungkan wakil kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu berkelayakan untuk menganggotai majlis berkenaan demi memastikan kelangsungan bahasa Melayu terus terbela.

Menurutnya, cadangan itu merupakan salah satu usul yang dibangkitkan oleh jawatankuasa kerja Gapena ketika sesi mesyuarat agung tahunan yang berlangsung pagi tadi.

“Memandangkan bidang persuratan iaitu bahasa dan sastera termasuk dalam subbidang budaya yang tinggi, Gapena menuntut kerajaan menyatakan suatu sikap dan perhatian yang jelas terhadap perkara ini.

“Perancangan dan peruntukan yang munasabah perlu disediakan dalam Pelan Strategik Pembangunan Negara terutamanya usaha untuk mewujudkan Majlis Bahasa dan Sastera Negara,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Aidilfitri Gapena di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua II Gapena, Amiruddin Md. Ali Hanafiah. - UTUSAN ONLINE