AZIZ ALI
AZIZ ALI

Program yang berlangsung selama lima hari bermula semalam memilih Bangkok, Thailand sebagai lokasi menghimpunkan para sarjana dan cendekiawan dari negara Malaysia, Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Setiausaha Kerja Gapena, Aziz Ali berkata, pada kali ini program ini mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Thailand, Yayasan Pusat Islam Thailand(FICT) dan Universiti Kasem Bundit, Bangkok.

Katanya, pertemuan Dunia Melayu dianjurkan sejak 1982 di Melaka yang mana berjuang dalam membina perpaduan dan kesatuan bangsa Melayu besar di seluruh dunia.

"Program ini diteruskan adalah bertujuan mahu membina hubungan Melayu serantau dan pada kali ini memfokuskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Asean.

"Bangsa Melayu ada di mana-mana dan sejarahnya perlu dibincangkan supaya bahasa dan budaya kita terus digunakan," katanya kepada Utusan Online malam tadi.

Terdahulu, kira-kira 300 peserta menyertai program yang bakal dirasmikan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim pagi semalam.

Dalam pada itu, Aziz yang juga merupakan Penyelaras program menjelaskan, pihaknya memilih tema berkenaan kerana mahu memperkukuhkan bahasa Melayu selain merapatkan hubungan serantau.

Jelasnya, pemilihan panel penceramah juga dipilih dalam kalangan penulis dan tokoh yang benar-benar memahami sejarah dan kewujudan Melayu.

"Contohnya pada tahun 2000, ketika Gapena menganjurkan pertemuan di Thailand, pencapaian bahasa Melayu sudah semakin dilupakan sehingga generasi ketiga tidak boleh berkomunikasi menggunakan bahasa tersebut.

"Oleh itu, dengan adanya pertemuan seperti ini, bahasa Melayu dapat dikembangkan dan diguna dalam kalangan masyarakat," ujarnya. - UTUSAN ONLINE