Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, ini kerana di pasaran dunia didapati harga komoditi bahan tersebut semakin menurun.

“Malangnya di negara ini, harga gandum tidak menurun sejajar dengan harga pasaran dunia ini malah semakin meningkat, yang sepatutnya tidak dijadikan alasan kepada para peniaga untuk menaikkan harga kepada produk-produk makanan yang dihasilkan berasaskan gandum.

“Kita hendak membangkitkan isu bekalan dan keselamatan bahan gandum ini kerana impaknya amat penting terutamanya golongan pekerja khususnya dari Kumpulan B40 dan M40,” katanya dalam satu kenyataannya, di sini hari ini.

Mohamed Shafie berkata, pada tahun 2016 didapati penggunaan gandum sebagai makanan asas pembuatan pelbagai jenis makanan seperti kuih, roti, spagetti, roti canai dan sebagainya adalah pada tahap 1.7 juta tan metrik berbanding beras pada kadar 1.6 juta tan metrik sebagaimana yang dilaporkan oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat dalam laporan terkini mereka untuk Dagangan dan Pasaran Dunia bagi Bijiran dan Makanan Ternakan: DVS Malaysia. 


“Tetapi negara terpaksa mengimport seratus peratus bekalan gandum dari luar dan persoalan pentingnya sekarang, mengenai penentuan harga tepung yang dijual di negara ini di saat harganya semakin menurun di peringkat dunia.

“Kenapa langsung tiada penurunan harga? Namun sama ada naik mahupun turun harga, pengimport dan peniaga tetap mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang makanan berasaskan gandum di negara ini,” katanya.

Menurutnya, jika gandum kini termasuk sebagai makanan asasi rakyat negara ini, apakah akan terjadi jika komoditi ini tergugat dari segi harga atau bekalan dan apakah implikasinya terhadap “Keselamatan Makanan” Negara?

“Umum mengetahui tepung merupakan salah satu bahan makanan yang menerima subsidi dari kerajaan. Tetapi di mana logiknya kita memberi subsidi kepada tepung yang mana harganya sepatutnya lebih murah?,” katanya. - UTUSAN ONLINE