Ketua Badan Pimpinan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, untuk itu huraian mengapa Presiden PKR itu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Port Dickson perlu lebih diperincikan agar dapat diperjelaskan kepada rakyat.

“Kami berpendapat bahawa huraian Anwar bertanding masih belum cukup diberitahu sebab alasan-alasan yang diberi masih bertumpu kepada soal peribadi sedangkan beliau masuk ke Port Dickson ini atas pertimbangan nasional, direstui oleh parti dan kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

“Anwar diharap kita dapat menggandingkan tenaga sekutu beliau dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin PH ke arah pencapaian kenegaraan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas meninjau Rumah Negeri Sembilan, Bilik Gerakan Utama Bersatu di Kampung Paya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith.

Sementara itu, Rais berpandangan, dalam siri kempen Anwar dalam PRK Port Dickson ketika ini sebahagian daripada 60 perkara dalam manifesto PH juga perlu dihurai untuk menambat hati rakyat.

“Dalam pilihan raya umum lalu, Tun Mahathir menyebut 60 perkara itu, kenapa kita tidak boleh sebut sikit, mana yang harus kita perelok dan mana yang harus kita perbaiki.

“Insya-Allah kami dapat bertemu selepas ini agar dapat meletakkan sedikit hakiki kepada huraiannya itu, moga-moga beliau bersetuju misalnya dalam soal mengintegritikan kerajaan atau tentang bagaimana kewangan negara boleh kita urus, takkan itu tak boleh cakap,” katanya.-UTUSAN ONLINE