Seorang petani, Khamis Uyok, 50, berkata, bom berkenaan ditemukan semasa menggali sebuah perigi pada pukul 10.15 pago dengan menggunakan jengkaut.

"Pagi ini (kelmarin) kami melakukan kerja-kerja membesarkan parit untuk saluran air kawasan ladang sawit dan kami juga menggali perigi untuk takungan air.

"Pemandu jengkaut tiba-tiba ternampak satu bongkah besi sebelum diteliti rupa-rupanya benda itu sebutir bom dan kami terus membuat laporan polis," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Khamis berkata, polis melakukan siasatan dan kawasan tersebut menjadi kawasan larangan sebelum bom seberat kira-kira 45 kilogram (kg) itu dimusnahkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Kampung Gajah dekat sini.

"Berikutan itu sepasukan pegawai dan anggota polis dikejarkan ke lokasi bagi mengelak orang ramai mendekati bom yang dipercayai masih aktif.

"Bom berkenaan akan dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom Bukit Aman esok (hari ini)," katanya ketika dihubungi. - UTUSAN ONLINE