Majlis perasmian galeri itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas hari ini.


Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata, galeri itu turut mempamerkan model kapal penangkapan ikan tuna, jenis-jenis ikan tuna serta industri hiliran tuna yang mampu menarik minat bukan sahaja pengunjung tetapi pemain industri perikanan.


“Setakat ini AkuaTAR mencatatkan bilangan pengunjung mencecah 100,000 orang setahun dan menawarkan pengalaman menarik bukan sahaja berkaitan ikan tetapi juga ekosistem marin tempatan termasuk kuda laut.


“Galeri tuna ini pula bersesuaian kerana industri tuna di Malaysia telah bermula sejak tahun 1960-an lagi apabila nelayan Taiwan mendaratkan tangkapan tuna di Pelabuhan Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Tambahnya, industri tuna juga semakin berkembang dengan sasaran 130,000 tan metrik tangkapan dengan nilai sebanyak RM1 bilion menjelang 2020 dan sehingga kini nilai tangkapan mencecah RM700 juta.- UTUSAN ONLINE