Timbalan Pengarah Pengoperasian Sekolah, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pendidikan, Datuk Haidzir Hussin berkata, lebih ramai rakyat Malaysia perlu mengikuti kursus TVET bagi mengisi kira-kira 1.3 juta pekerjaan teknikal dan vokasional yang dijangka diwujudkan menjelang tahun 2020.

“Hal ini sekali gus membe­tulkan anggapan negatif bahawa memasuki TVET sebagai bidang kelas kedua apatah lagi pada usia 15 tahun yang masih terlalu muda walhal negara-negara maju sudah lama melaksanakannya kerana peluang pekerjaan yang disediakan amat luas terutama dalam industri automotif, kejuruteraan dan perkhidmatan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Vokasional Setapak dan sembilan syarikat di kolej itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kolej Vokasional Setapak, Ruslan Zainudin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru kolej, Datuk Badaruddin Nordin.

Syarikat yang terlibat dalam MoU itu antaranya Motozoom Sdn. Bhd, G-Mart Autoworld, Astana Digital, Sound Dimension dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

MoU ini sempena Program Outreach Perdana Kolej Vokasional Setapak yang merangkumi cera­mah mengenai kursus pengajian vokasional yang disertai 200 pelajar sekolah menengah dan penye­rahan kereta Myvi oleh Perodua untuk kegunaan pelajar jurusan automotif kolej itu.

Mengulas lanjut mengenai MoU ini, Haidzir berkata, kerjasama pintar yang dijalin dengan pemain industri harus diaktifkan dari semasa ke semasa bagi memastikan bidang TVET menjadi pilihan utama.

“Malah, kerjaya TVET turut menawarkan pendapatan lumayan misalnya pekerjaan pengendalian kren atau pembaikan pendingin hawa yang menawarkan pendapatan setanding dengan pekerjaan profesional lain.

“Cuma bezanya kerja kemahiran ini memerlukan lebih tenaga fizikal dalam persekitaran yang kotor, sukar dan berbahaya berbanding kerja di pejabat,” kata­nya.