Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perlu ada permurniaan antara guru-guru prasekolah di bawah kendalian kerajaan serta tadika-tadika milik swasta berhubung penyela­rasan gaji terbabit.

Malahan kata beliau, di peringkat kerajaan sendiri mempunyai tiga jenis prasekolah iaitu di bawah kendalian kementeriannya di sekolah kebangsaan, tadika Kemas di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta tadika Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Kementerian Pendidikan akan adakan satu perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri bagi mendapatkan satu gambaran penuh berkaitan kajian gaji minimum guru prasekolah yang disebut oleh beliau, kementerian akan tengok bagaimana pelarasan ini akan dibuat.

“Kita akan dapatkan satu tarikh daripada beliau untuk kita berbincang dan Kementerian Pendidikan mengambil tanggungjawab penuh untuk beri taklimat penuh berkait dengan prasekolah dan gaji guru prasekolah di bawahnya,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Khatan Perdana Peringkat Padang Terap 2017 di Hospital Kuala Nerang di sini hari ini yang dihadiri lebih 105 kanak-kanak dari daerah ini.

Mahdzir diminta mengulas tentang kenyataan Ahmad Zahid bahawa, kerajaan sedang merangka satu mekanisme bagi menyelaras skim gaji guru tadika dan prasekolah di seluruh negara.

Mengulas lanjut kata beliau, sehingga kini terdapat 6,121 prasekolah di bawah kementeriannya sementara 7,428 prasekolah yang dikendali oleh pihak swasta dengan lesen dikeluarkan pihaknya.

Jelasnya, kementerian sentiasa memastikan kurikulum prasekolah di peringkat kerajaan ini selaras termasuk tadika yang diusahakan oleh pihak swasta.

“Menjelang 2020, kementerian menetapkan bahawa kelayakan guru prasekolah adalah diploma pendidikan awal kanak-kanak.

“Jadi apa yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri sehingga tempoh tersebut adalah bahawa guru-guru boleh mengambil kursus jangka pendek sebelum menjelang tahun 2020,” katanya.