FATIMAH KAROI
FATIMAH KAROI

Pensyarah Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Prof. Dr. Fatimah Kari berkata, kesan daripada keadaan ekonomi semasa lebih dirasai oleh kelompok ini disebabkan pendapatan mereka yang kecil dan tidak berkadaran dengan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat.

Justeru, Dr. Fatimah berpendapat, untuk berlaku adil, wajar bagi kerajaan melaksanakan Perintah Gaji Minimum yang baharu pada kadar RM1,500 atau yang lebih wajar dengan keperluan ekonomi dan kos sara hidup semasa.

Kadar gaji minimum RM1,000 dan RM920 bagi pekerja kolar biru dan bawahan masing-masing di semenanjung serta Sabah dan Sarawak yang ditetapkan oleh Perintah Gaji Minimum 2016 sudah tidak bersesuaian dan langsung tidak selari dengan perkembangan ekonomi negara sekarang dengan keperluan sara hidup semakin menekan golongan berkenaan.

Pakar ekonomi itu juga mengatakan, kajian menunjukkan gaji minimum yang berwajaran dengan keperluan hidup semasa didapati mampu memperbaiki kehidupan dan produktiviti pekerja kolar biru dan bawahan yang majoritinya merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kajian menunjukkan, di sesetengah tempat di Malaysia, 70 peratus dari pekerja peringkat bawahan adalah daripada kelompok ini. Namun, gaji yang diterima mereka tidak berkadaran dengan kos sara hidup semasa.

“Ini memberikan implikasi jangka panjang seperti penurunan produktiviti juga masalah-masalah lain yang akan menjadi satu bebanan kepada masyarakat setempat dan negara,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Dr. Fatimah berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan supaya kerajaan melaksanakan gaji minimum 1,500 walaupun ia jauh lebih rendah daripada kajian oleh Bank Negara bahawa kadar gaji paling rendah yang adil untuk pekerja di Malaysia adalah sekitar RM2,500.

Bagaimana pun cadangan gaji minimum RM15,000 itu dibantah oleh majikan di Malaysia kerana dikatakan akan meningkatkan kos operasi.

Pada 19 Julai lalu, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sudah menyelesaikan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2016 dan syor itu akan dibentangkan kepada kerajaan selewat-lewatnya pada Ogos depan.

Bagaimanapun, pada 22 Julai, Timbalannya, Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata, pelaksanaan gaji minimum berjumlah RM1,500 itu bukanlah untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat sebaliknya dijangka akan dicapai dalam masa lima tahun pentadbiran kerajaan baharu ini.

Dr. Fatimah berkata, dari aspek ekonomi, penting bagi kerajaan bertegas untuk melaksanakan Perintah Gaji Minimum pada kadar wajar bagi mengelakkan kemajuan negara berada dalam keadaan statik.

Beliau mengingatkan, gaji minimum adalah ciri penting dalam menentukan Malaysia mencapai tahap negara maju dan perlu dilaksanakan sekarang.

“Maka, perlaksanaan gaji minimum pada kadar wajar ini tidak lagi boleh ditangguh. Jangan jadikan keadaan ekonomi semasa sebagai alasan untuk menangguhkannya kerana tindakan itu hanya akan merugikan negara dalam jangka masa panjang,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE