Bagi menarik minat golongan yang tiada pengalaman dan ingin mencuba nasib, ejen-ejen berkenaan turut menjanjikan keperluan makanan percuma sepanjang bekerja di luar negara.

Carian Utusan Malaysia di beberapa laman sosial dan blog mendapati ramai yang tertarik serta memberi komen berminat dengan tawaran-tawaran tersebut.

Tidak ketinggalan terdapat juga beberapa individu yang berminat bekerja di luar negara selepas menonton pelbagai vi­deo persekitaran yang sejuk dan gambar tempat kerja yang santai, turut dimuat naik ejen-ejen berkenaan dalam laman sosial tersebut.

Laman Kerja di Korea dan Australia Termurah Malaysia di Facebook secara terbuka menjelaskan cara-cara pembayaran yang perlu dilakukan bagi mereka yang berminat untuk bekerja memetik sayur kobis dan lobak di negara tersebut.

“Bayaran di Malaysia hanya RM1,700 untuk urusan tiket dan lain-lain manakala baki RM800 apabila tiba di Korea,” tulis ejen berkenaan di laman sosial tersebut.

Dalam masa sama, laman tersebut turut memberitahu langkah yang perlu diambil bagi mengelak daripada disyaki pihak berkuasa.

“Terbang ke Korea bersama kumpulan bukan individu, nanti kita atur tips-tips untuk elak dari imigresen syak,” kata pemilik laman sosial yang menggunakan nama Eddy itu.

Walau bagaimanapun, ejen tersebut turut memaklumkan mengenai kesukaran dan risiko bekerja di luar negara untuk rujukan kepada yang berminat.

“Lapan puluh peratus kerja di luar negara adalah tiga kali ganda lebih penat berbanding kerja di Malaysia, hanya mereka yang betul-betul tahan disyorkan be­kerja di sini,” katanya.