Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Nidzam Kamarulzaman berkata, di negara luar seperti Australia, bidang TVET mampu menjana pendapatan tinggi kepada rakyatnya dan seharusnya ia menjadi contoh kepada rakyat negara ini.

“Kita berharap bidang TVET menjadi pilihan kepada generasi muda yang ingin membina kerjaya dan mencari rezeki selain bidang akademik.

“Sehubungan itu, JPK berusaha ke arah itu dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival CIAST Skills Malaysia 2018 di sini, semalam.

Yang hadir sama ialah Pengarah Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Mohamad Sulaiman.

Nidzam menambah, penganjuran karnival tersebut adalah salah satu usaha yang digembleng pihaknya untuk mempromosi TVET sebagai bidang kemahiran yang boleh diceburi oleh lepasan sekolah menengah.

Jelasnya lagi, pada masa depan, bidang TVET perlu lebih diperkasakan dengan kewujudan Revolusi Perindustrian (IR) 4.0.

“Pada masa depan, kita perlu bersedia untuk menyediakan pekerja mahir berskil selaras dengan IR 4.0 yang bakal mewujudkan bidang pekerjaan baharu selaras perkembangan teknologi tinggi dalam pelbagai aspek,” katanya. - UTUSAN ONLINE