Gajah betina yang kemungkinan besar ditembak Jumaat lalu itu mengalami cedera parah dan gagal diselamatkan oleh pasukan veterinar daripada Unit Perlindungan Hidupan Liar.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar negeri, Augustine Tuuga ketika dihubungi mengesahkan insiden itu dan sedang menjalankan siasatan.

“Kita juga menunggu laporan penuh bagi mengenal pasti motif kejadian itu dan masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada gajah Pygmy Borneo betina itu mati ditembak dengan sengaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Dianggarkan kira-kira 2,000 populasi gajah Pygmy Borneo mendiami hutan di lima daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Beluran, Tongod dan Kinabatangan.

Haiwan kumpulan herbivor ini memiliki berat badan tidak lebih daripada dua tan dan mampu hidup sehingga 70 tahun.

Sementara itu, Pengarah Pusat Lapangan Danau Girang, Dr. Benoit Goossens memberitahu, setakat ini pihaknya belum dapat memastikan sama ada gajah terbabit mati akibat menjadi mangsa penceroboh.

“Ia gajah betina dan tidak mempunyai gading malah dagingnya pun tidak dicuri. Jadi sukar bagi kami menyata­kan punca dan motif kenapa ia dibunuh,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, arahan telah dikeluarkan supaya Jabatan Hidupan Liar membuat siasatan menyeluruh dan membawa pesalah ke muka pengadilan.