Penduduk terbabit dari Kampung Pulau Tawar, Kampung Batu Leja dan Bukit Nikmat bukan sahaja menanggung kerugian malah bimbang jika haiwan liar itu kembali menyerang kediaman mereka sehingga mengancam keselamatan.

Sekumpulan gajah liar terdiri daripada 25 hingga 30 ekor itu dipercayai kehilangan habitat akibat penebangan pokok di Hutan Simpan Lepar dan Hulu Tembe­ling sejak empat tahun lalu hingga terpaksa keluar mencari makanan di kampung sekitar Mukim Pulau Tawar serta Gugusan Felda Kota Gelanggi.

Seorang pengusaha kebun sawit dan pisang dari Kampung Pulau Tawar, Farizal Sulaiman, 31, berkata, gajah itu menceroboh tanamannya sekali gus memusnahkan harapan untuk memperoleh hasil pencarian.

“Saya terkilan kerana sebanyak 460 benih pokok sawit yang ditanam sejak setahun enam bulan lalu musnah dicabut oleh gajah yang menceroboh pada waktu malam.

“Hampir 95 peratus tanaman sawit dan pisang musnah termasuk haiwan liar ini merosakkan pagar serta saluran paip yang ditaksirkan kerugian sebanyak RM70,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di Pulau Tawar, di sini semalam.

Menurutnya, dalam tempoh lima hari, sudah tiga kali kumpulan gajah menceroboh dan kali ter­akhir semalam sehingga memusnahkan keseluruhan tanaman.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Ahmad Azhar Mohammed berkata, pihaknya telah memasang 30 unit lampu diod pemancar cahaya (LED) berwarna biru di lokasi tertentu untuk menghalau gajah.

“Malangnya, usaha untuk menghalau gajah liar dengan kaedah tersebut terbantut berikutan laporan yang kami terima, lampu berkenaan dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan sekumpulan gajah masuk semula ke kawasan kebun milik penduduk berkenaan,” katanya.

Katanya, tindakan orang ramai yang menonton gajah liar menyeberangi bawah jambatan Sungai Batu, Pulau Tawar kelmarin juga mengganggu haiwan itu pulang ke habitat asal dan berpatah balik ke kampung berdekatan.