Timbalan Ketua Unit Gajah, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah,  Pahang , Mohd Khairul Adha Mat Amin berkata, gajah betina seberat kira-kira 2.8 tan metrik itu telah dibawa keluar dengan menggunakan dua ekor gajah denak, Abot dan Rambai.

Gajah itu dijejak oleh sekumpulan anggota daripada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara ( Perhilitan) negeri di pinggir Hutan Simpan Air Putih.

Menurutnya, operasi membawa keluar gajah liar tersebut untuk dipindahkan ke kawasan Taman Negara di Tasik Kenyir telah dimulakan pada pukul 9 pagi  dan berakhir pada pukul  1 petang tadi.

"Kita dapati ia mengalami kecederaan  di beberapa bahagian anggota badannya

dan kita telah memberi  rawatan awal sebelum membawanya keluar," dila

katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kerja - kerja pemindahan haiwan liar terbabit berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan pihaknya akan meneruskan usaha mengesan baki lima sekawan gajah liar yang masih bebas.

"Konfilik gajah dengan manusia ini  belum  berakhir, kerana masih terdapat lima ekor lagi yang berkeliaran dan anggota kami akan sentiasa membuat pemantauan demi memastikan keselamatan penduduk kampung dan haiwan itu sendiri," katanya.

Sementara itu,  kalangan pekebun yang ditemui menyatakan rasa gembira mereka  kerana masalah yang membelenggu mereka selama ini dengan kemusnahan hasil tanaman mendapat perhatian pihak berkuasa.

Namun begitu timbul perasaan bimbang mereka kerana masih ada lagi baki gajah liar yang masih belum ditangkap dan berharap supaya ianya diselesaikan secepat mungkin demi keselamatan mereka.

Bagi Mokhtar Junoh, 62, dia berasa lega apabila mengetahui berkenaan berita penangkapan haiwan tersebut kerana dia sudah menanggung kerugian kira - kira RM 10, 000 akibat kerosakan tanaman kelapa sawit dalam kebun seluas 4.8 hektar.

"Memang saya bersyukur tetapi masih bimbang masih ada baki kawanan gajah yang belum ditangkap," katanya.- UTUSAN ONLINE