Kejayaan itu membolehkan Haziqah Nurulhuda Harun, 21, menerima sijil penghargaan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Turut menerima anugerah sama ialah Pengarah Kelip-Kelip Palmstay Seri Bandi, Muhammad Syaifullah Che Ghani, 28, di samping Pengarah Urusan syarikat D Lan Group Sdn. Bhd., Nor Ardilan Syah Abdullah, 36.

Kedua-duanya merupakan pemenang dalam Rural Business Challenge (RBC) 2016 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam satu majlis di Kuantan, Pahang minggu lalu.

Terdahulu, Ahmad Razif turut menyampaikan Anugerah Belia Wanita 2017 kepada Nurul Shafinaz Ishak manakala Muhammad Rosdi Mat Zin pula memenangi kategori lelaki.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib serta Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Datuk Azmi Razik.

Sementara itu, Haziqah Nurulhuda berterima kasih atas penghargaan tersebut dan akan menjadikannya sebagai motivasi untuk terus berjaya dalam bidang perniagaan.

“Kekurangan saya bukan penghalang untuk maju dan mencapai impian.

“Kuih bakul saya bakal ke Singapura September depan apabila kita dijemput untuk menyertai Festival Kuih Bakul oleh komuniti Malaysia di sana,“ katanya.

Menurut gadis berkerusi roda ini, segala tempahan terpaksa dihentikan seketika buat masa ini kerana ingin menumpukan kepada penyediaan 20,000 kuih bakul bagi dibawa ke Singapura.

Katanya, aktiviti sepanjang Ramadan akan tertumpu pada penghasilan inti kuih bakul termasuk bakal mencuba inti baharu, antaranya, strawberi dan oreo.

“Secara keseluruhan, kuih bakul yang cara pembuatannya saya pelajari daripada rakan Facebook dari Beijing, China ketika ini mempunyai 29 perisa termasuk kacang merah, coklat kismis, pandan, teh hijau, jagung, pisang dan kelapa,“ katanya.