Lirik lagu Gadis Melayu dendangan penyanyi terkenal Jamal Abdillah itu mungkin sesuai bagi menggambarkan kecantikan Nurul Shamsul, 20, yang berjaya mencatat nama dalam senarai pendek 20 finalis pertandingan ratu cantik, Miss Universe New Zealand 2018.

Menariknya, Nurul yang lahir di Ampang, Selangor merupakan lambang gadis Melayu yang ter­kenal dengan kesopanan apabila menjadi peserta pertama berhijab berjaya ke peringkat akhir pertandingan tersebut.

Tidak keterlaluan apabila dia juga disifatkan sebagai perintis tahap global.

“Saya berharap peluang ini mampu memecah halangan dan stereotaip selain dapat memberi makna kecantikan sebenar.

“Saya berdoa supaya peluang ini sesuatu yang baik untuk diri saya dan agama. Saya mohon ia berlaku dan jika tidak saya minta Tuhan menjauhkan saya daripadanya,” katanya dalam status bergambar di akaun Instagram miliknya.

Jelas Nurul yang masih me­nuntut di Universiti Waikato, New Zealand dalam bidang psikologi, dia menyimpan hasrat untuk membantu lebih ramai individu berjaya pada masa depan.

“Saya ingin sekali membantu masyarakat untuk berjaya dan memberi ruang kepada individu bagi menjamin masa depan,” katanya.

Pada masa sama, Nurul yang memiliki darah campuran Indonesia daripada ibunya memberi­tahu, perjalanan dalam pertan­dingan itu bukanlah sesuatu yang mudah tetapi dia tidak akan berputus asa.

Tambahnya, dia yakin semua yang berlaku bertitik tolak daripada mempercayai bahawa semuanya akan baik-baik sahaja kerana Tuhan mengetahui lebih baik.

“Alhamdulillah, saya juga sangat berterima kasih atas semua sokongan setakat ini,” katanya.