Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, sudah tiba masanya Yang di-Pertuan Agong menitahkan perintah hukuman itu supaya hak Islam dan raja-raja tidak diperkotak-katikkan.

Tegasnya, siri penghinaan yang tular dalam media sosial menghiris hati umat Islam yang seolah-olah mencabar Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai agama rasmi.

"Kami ingin menyembah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong melalui kuasa baginda, kami ingin mencadangkan pesalah yang sengaja melukis karikatur nabi bertujuan menghina supaya dihukum 10 tahun penjara, 10 sebatan dan RM50,000 denda.

"Memorandum ini juga turut mengandungi beberapa laporan polis yang dibuat di sekitar Lembah Klang dan kami minta supaya pihak polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menubuhkan unit khas memantau perkara seperti ini dalam media sosial," katanya selepas menyerahkan memorandum tersebut di Pintu 3, Istana Negara di sini hari ini.

Memorandum tersebut diterima oleh Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertuan Agong di balai pengawal di sini.

Hanya tiga NGO iaitu Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia, Kesatuan Melayu Nasional (KMN) dan Majlis Bendahara Malaysia mengambil bahagian sambil melaungkan takbir elepas penyerahan tersebut. -UTUSAN ONLINE