JEFRIZAL
JEFRIZAL

Demikian ditegas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Langat, Jefrizal Mohd. Jaafar susulan laporan mengenai wujudnya sikap sesetengah pengamal undang-undang yang tidak mahu menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mahkamah sedangkan kedudukan bahasa itu jelas diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun bahasa lain dibenarkan sebagaimana yang tertakluk dalam Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, namun penggunaan bahasa Melayu itu seharusnya diberikan keutamaan selagi mana pihak terlibat dalam mana-mana prosiding merupakan warganegara Malaysia.

"Saya fikir rakyat Malaysia pada hari ini bukan seperti masyarakat mula-mula mencapai kemerdekaan yang mana ada kalangan tidak memahami bahasa Melayu. Kita telah 61 tahun merdeka, agak mustahil jika masih ada rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.

"Agak ironi juga apabila mengaitkan jika ada pengamal undang-undang tidak mahu menggunakan bahasa Melayu di mahkamah sebaliknya lebih mengutamakan bahasa Inggeris. Sedangkan, bahasa Melayu itu termaktub dalam undang-undang tertinggi negara serta dilindungi oleh akta khusus yang mana ia harus ditegakkan oleh semua pihak," katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Jefrizal mengingatkan kerajaan supaya tidak mengenepikan usaha memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara utama dalam urusan pentadbiran negara di samping bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Sekiranya kerajaan mengabaikan usaha meningkatkan penguasaan serta penggunaan bahasa Melayu dengan meluas di kalangan rakyat, beliau tidak menolak kemungkinan bahasa kebangsaan itu hanya akan tinggal sekadar formaliti sahaja pada masa depan tanpa sebarang fungsi.

Semalam, Peguam Negara, Tommy Thomas dikritik hebat selepas dilaporkan memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini untuk meneruskan prosiding kes pecah amanah serta salah guna kuasa terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam bahasa Inggeris dan permohonannya itu dibenarkan.

Tommy kemudiannya didesak oleh penyokong Najib untuk menggunakan bahasa Melayu dalam sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sehingga memaksa beliau dan pasukan pendakwaannya membatalkan sidang akhbar tersebut. - UTUSAN ONLINE