Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, proses pencalonan telah dilakukan pada Julai tahun lalu dan kini pihaknya sedang bertungkus-lumus menyediakan dokumen berkaitan bagi merealisasikan impian itu.

“Seandainya FRIM berjaya dinobatkan sebagai salah satu tapak warisan dunia di Malaysia, ia bermakna kejayaan untuk semua pihak yang terlibat dalam perkara ini. Akhbar Utusan Malaysia juga merupakan sebahagian daripa­da­nya.

“Hal ini kerana, Utusan Malaysia terutama melalui Meja Sains dan Teknologinya banyak membantu FRIM menyiarkan pelbagai laporan berkaitan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai perhutanan kepada masyarakat.

“Perkara ini penting dalam menentukan hala tuju sains dan teknologi negara khasnya melibatkan alam sekitar,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena sambutan Hari Keluarga Kelab Editorial Utusan di Tapak Perkelahan Sungai Kroh, FRIM dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Pengarang Utusan Malaysia merangkap Pengerusi Kelab Editorial Utusan, Datuk Zulkefli Hamzah dan Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Rozaman Ismail.

Tambah Abd. Latif lagi, Utusan Malaysia boleh disifatkan sebagai juara dalam perjuangan menyu­burkan pemikiran masyarakat dengan perkongsian maklumat R&D di negara ini.

“Walaupun pengaruh media cetak mengalami sedikit penurunan akibat kemunculan media baharu seperti laman sosial, peranan Utusan Malaysia masih teguh untuk mendidik masyarakat terutama golongan muda dengan bahan ilmiah.

“Penyebaran berita palsu yang dibawa oleh media sosial amat membimbangkan dan ia perlu dikawal kerana platform berkenaan lebih banyak menyajikan bahan bersifat sensasi daripada realiti,” jelasnya.

Dalam pada itu, sepohon pokok Giam Lintah Bukit atau nama saintifiknya Hopea Helferi telah ditanam oleh Abdul Aziz sambil disaksikan Abd. Latif, Zulkefli dan Rozaman sebagai simbolik penghargaan di atas hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua pihak.

Turut diadakan pelbagai aktiviti menarik seperti sukaneka untuk kanak-kanak dan amazing race.

Wartawan Meja Am, Mohamad Hafiz Yusoff Bakri dan wartawan Meja Suplemen, Mohd. Azraie Md. Yusof yang menamakan kumpulan mereka sebagai Kamikaze berjaya muncul juara dalam acara amazing race dengan menewaskan 15 kumpulan lain.