Ahmad Zahid berkata, ini kerana beliau tidak mahu FRIM Inc. kehilangan fokus seperti organisasi-organisasi lain yang memberikan tumpuan kepada pembelian aset termasuk di luar negara untuk mengembangkan perniagaan.

“Jangan lakukan projek di luar bidang teras kita, fokus kepada bidang kita sahaja.

“Saya tidak mahu akhirnya FRIM Inc. tubuhkan hotel dan beli hotel di luar negara walaupun sepatutnya pelihara hutan tetapi beli aset lain,” katanya ketika berucap merasmikan FRIM Inc. di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azizan Ahmad dan Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd Latif Mohmod.

FRIM Inc. ditubuhkan pada 4 Ogos 2017 sebagai anak syarikat FRIM bagi mentransformasikan hasil penyelidikan dan pembangunan termasuk perkhidmatan teknikal FRIM kepada aktiviti komersial untuk penjanaan pendapatan.

Daripada keseluruhan aktiviti perniagaan FRIM Inc. yang bermula Disember 2017 hingga Januari 2018 syarikat ini dianggarkan memperoleh perniagaan bernilai RM1 juta. - UTUSAN ONLINE